BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran beri bayangan tarik balik sekatan di Selat Hormuz jika perang tamat

TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi bayangan bahawa sekatan ketat oleh tentera laut Iran di Selat Hormuz akan ditarik balik sekiranya perang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran ditamatkan.

Menurut beliau, Iran akan memastikan laluan perkapalan di selat strategik itu kembali selamat untuk semua kapal sekiranya konflik tersebut berakhir.

“Kemudian kami akan memastikan laluan selamat dijamin bagi setiap kapal,” katanya ketika ditemui di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di New Delhi hari ini.

Dalam masa sama, Abbas menegaskan bahawa dari sudut pandangan Tehran, Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya dan masih terbuka kepada negara-negara sahabat.

“Selat Hormuz tidak ditutup, khususnya kepada negara sahabat. Ia hanya ditutup kepada musuh kami,” katanya.

Tidak lama selepas perang tercetus pada akhir Februari lalu, tentera Iran mengambil alih kawalan Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan tenaga dunia.

Beberapa ancaman, pemeriksaan dan serangan terhadap kapal menyebabkan trafik perkapalan di kawasan tersebut terjejas teruk sehingga mencetuskan kenaikan harga tenaga dan bahan api global.

Iran turut dilaporkan memasang periuk api di laluan strategik itu, namun Tehran secara konsisten menafikan bahawa Selat Hormuz ditutup sepenuhnya.

Bagaimanapun, syarikat perkapalan kini perlu menyelaras perjalanan dengan pusat hubungan Iran sebelum dibenarkan melalui koridor berhampiran pantai negara itu.

Iran juga didakwa mengenakan bayaran tinggi terhadap kapal yang melalui laluan tersebut, tindakan yang menurut pakar undang-undang antarabangsa melanggar hak laluan transit.

Dalam perkembangan berkaitan, AS mengenakan sekatan maritim terhadap Iran sejak pertengahan April lalu sebagai usaha menyekat pendapatan eksport minyak negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button