BERITA SEMASA

Lima kenderaan terbabit kemalangan di jejambat Udini, tiga terbakar

GEORGE TOWN – Sebuah treler, van dan kereta jenis Proton S70 musnah dalam kebakaran selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di jejambat Udini, Jalan Masjid Negeri di Jelutong semalam.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku pada waktu pagi itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah Perodua Alza dan Chery Tiggo yang tidak terbakar.

Menurutnya, treler berkenaan mengalami kerosakan kira-kira 90 peratus pada bahagian kabin, manakala van dan Proton S70 masing-masing musnah hampir keseluruhannya.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi segera melakukan penilaian situasi sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan pendekatan RECEO iaitu menyelamat, kawalan pendedahan, pengasingan kawasan, pemadaman dan pemeriksaan susulan.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.16 pagi menggunakan kaedah serangan secara terus.

“Kerja-kerja pemeriksaan susulan kemudian dilakukan sebelum lokasi diserahkan kepada Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Menurut beliau, operasi melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera bomba dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), selain dibantu pihak polis.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan anggota penguat kuasa trafik turut ditempatkan di lokasi bagi membantu melancarkan aliran trafik susulan kesesakan yang berlaku.

Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button