UPSI laksana e-Perkasa SPM 2026 bantu 664 anak warga ATM
KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi kepercayaan melaksanakan Program e-Perkasa SPM 2026 bagi membantu 664 anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, program inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kebajikan pendidikan keluarga ATM menerusi akses pembelajaran berkualiti dan sokongan akademik menyeluruh.
Menurut beliau, kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi seperti UPSI mampu memperluaskan peluang pendidikan kepada anak-anak warga ATM khususnya mereka yang memerlukan bimbingan tambahan bagi meningkatkan pencapaian akademik.

“Program seperti e-Perkasa SPM bukan sahaja membantu meningkatkan kesiapsiagaan pelajar menghadapi peperiksaan, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri, motivasi serta masa depan generasi muda keluarga ATM,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis sama, Yayasan LTAT turut menyerahkan replika cek sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM376,488 kepada UPSI bagi pelaksanaan program berkenaan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Dr Md Amin Md Taff berkata, peningkatan penyertaan daripada 80 pelajar tahun lalu kepada 664 pelajar tahun ini membuktikan keyakinan tinggi Yayasan LTAT terhadap keupayaan universiti itu menyediakan sokongan akademik yang sistematik dan berkualiti.
Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar platform tuisyen dalam talian, sebaliknya menjadi model intervensi pendidikan digital menyeluruh menerusi penggunaan teknologi pembelajaran, analisis prestasi, pemantauan akademik serta pendekatan mentor-mentee.
“UPSI komited untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju pendidikan negara dengan menterjemahkan kepakaran akademik, pedagogi dan khidmat komuniti kepada program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat khususnya keluarga ATM,” katanya lagi.
Program e-Perkasa SPM 2026 dilaksanakan bermula April hingga Oktober depan menerusi pendekatan pembelajaran digital melibatkan lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI dipertanggungjawabkan sebagai fakulti pelaksana utama dengan kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








