PM arah kementerian dekati penjaja, kenal pasti isu bantuan kewangan formal
PUTRAJAYA – Semua kementerian berkaitan diarah mengadakan sesi libat urus dengan golongan penjaja bagi mengenal pasti isu dihadapi mereka yang menyebabkan kadar penyertaan golongan itu dalam program bantuan kewangan formal masih pada tahap sangat rendah.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.
Kata Fahmi, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang dibentangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini, hanya lima peratus penjaja mendapat bantuan, termasuk melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Hasil kaji selidik mendapati kadar penyertaan penjaja dalam program bantuan kewangan formal berada pada tahap yang sangat rendah.
“Antara sebab yang dibangkitkan dalam laporan itu berkait status perniagaan yang tidak berdaftar.
“Perdana Menteri meminta kementerian berkenaan melakukan sesi libat urus, termasuk dengan penjaja sendiri untuk cuba memahami isu yang dihadapi bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat dilanjutkan dan dipanjangkan kepada mereka,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi memaklumkan, Pusat Mediasi MADANI akan dirasmikan pada 18 Mei ini dan dikelolakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, usaha di pusat berkenaan adalah bersifat pro bono yang membabitkan mediasi komersial dan ketika ini, terdapat lebih 170 orang yang berkelayakan sebagai mediator bagi isu yang memerlukan mediasi di bawah paras RM250,000 dan akan diadakan secara percuma.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















