BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

RTM henti bersiaran di Astro mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menghentikan perkhidmatan penyiaran salurannya di platform satelit Astro bermula 1 Julai ini.

Dalam satu pekeliling bertarikh 11 Mei, RTM memaklumkan kedua-dua pihak menghadapi kesukaran ketika ini untuk “mencapai persetujuan harga” dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan masing-masing, lapor NST.

“Setelah bertahun-tahun menjalin kerjasama dan rundingan berterusan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan ini, adalah sukar ketika ini untuk mencapai persetujuan harga dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, RTM memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan penyiaran saluran RTM iaitu TV1-HD, TV2-HD dan Okey di platform satelit ASTRO serta platform OTT yang dikendalikan pihak anda. Penamatan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026,” kata pekeliling berkenaan.

Sebagai rekod, RTM telah bekerjasama dengan Astro dalam penyiaran saluran TV1 dan TV2 selama 30 tahun iaitu sejak 1996, manakala saluran Okey yang sebelum ini dikenali sebagai Muzik Aktif dan TVi sejak 2009.

Syarikat itu turut memaklumkan, kerjasama bersama Astro merangkumi beberapa penerbitan usaha sama dan memberi impak positif kepada penonton kedua-dua pihak.

“Memandangkan kos sewaan saluran terus meningkat dan beban kewangan RTM dalam menyewa saluran ini semakin berat, adalah lebih wajar untuk kami menamatkan perkhidmatan ini supaya tidak terus dibebani kos yang sukar dikawal,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button