BERITA SEMASA

Malaysia House di UNIFIL HQ Naqoura rosak akibat letupan dron, tiada rakyat Malaysia cedera

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengesahkan satu insiden letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenali berlaku berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura pada semalam kira-kira jam 5.30 petang waktu Malaysia.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kejadian itu berlaku berhampiran Malaysia House, iaitu kemudahan rehat yang digunakan lima Pegawai Staf Tentera (PST) Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas di bawah UNIFIL HQ di Naqoura.
Beliau berkata, lokasi tersebut terletak kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan.
“Terdahulu, sekitar jam 5.19 petang waktu Malaysia, siren amaran telah dibunyikan dan arahan memasuki bunker dikeluarkan kepada semua Pegawai Staf Tentera yang bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan ancaman di kawasan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Unifil
Keadaan di Malaysia House di UNIFIL HQ Naqoura yang rosak akibat letupan dron semalam.
Katanya, letupan dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter dari Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan tersebut.
Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan anggota PST Malaysia mahupun staf UNIFIL kerana semua individu berada di dalam bunker ketika kejadian berlaku.
Susulan insiden itu katanya, kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan.
Sementara itu katanya, penilaian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap kerosakan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13.
Katanya, kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat perkembangan semasa di kawasan operasi dan bekerjasama dengan pihak UNIFIL bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button