BERITA SEMASA

Kerajaan pantau dekat tekanan ekonomi global

PUTRAJAYA – Persekitaran ekonomi global ketika ini masih tidak menentu dan risiko geopolitik yang berpanjangan terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga, harga komoditi, kos logistik serta kelancaran rantaian bekalan dunia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan itu perlu dipantau secara dekat kerana kesannya boleh bergerak secara berperingkat kepada kos pengeluaran, harga barangan, operasi perniagaan dan akhirnya kepada rakyat.

Beliau bagainamapun berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada jaminan bekalan tenaga dan barangan keperluan, di samping melaksanakan sebarang penyesuaian dasar secara berhati-hati, bersasar dan sementara bagi melindungi rakyat.

“Sehubungan itu, tindak balas dasar perlu mengambil kira kesan langsung kepada rakyat selain kesan rantaian terhadap perniagaan dan bekalan,” katanya dalam taklimat Krisis Bekalan Global menerusi Facebook, hari ini.

Beliau menambah, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini membincangkan antara lain pandangan Bank Dunia bahawa tekanan global ketika ini berlaku secara berlapis melibatkan kenaikan harga minyak, baja dan makanan yang saling berkait antara satu sama lain.

Akmal Nasrullah kemudiannya berkata, Bank Dunia turut menggariskan empat keutamaan kepada Malaysia iaitu menjamin bekalan tenaga, memperkukuh ruang fiskal, mengurus permintaan tenaga serta menyalurkan sokongan bersasar kepada isi rumah dan perniagaan yang benar-benar terkesan.

Jelasnya, pendekatan itu juga menekankan kepentingan memastikan kelancaran bekalan barangan kritikal dan pembiayaan rantaian bekalan terutama kepada firma yang terdedah kepada tekanan semasa.

Jelas beliau, cadangan dikemukakan Bank Dunia itu disambut baik dan selari dengan pelbagai inisiatif kerajaan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, fokus kerajaan adalah untuk menjamin bekalan, memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada serta mengekang tekanan harga dalam pasaran.

“Usaha sedang dibuat bagi menyelaras kawalan eksport bahan api tertentu, jaminan bekalan barangan keperluan, pengurusan kuota pembelian, penjimatan tenaga serta kerjasama rapat dengan pihak industri,” jelasnya.

Beliau turut menambah, MTEN juga akan terus mengemas kini status bekalan tenaga dan bahan api dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan domestik terus diberi keutamaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button