BN yakin mampu tadbir Johor, Melaka secara solo
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yakin mampu mentadbir negeri Johor dan Melaka dengan baik meskipun bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, keyakinan itu bersandarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri diterajui BN di kedua-dua negeri berkenaan ketika ini.
Menurut beliau, Johor kini mencatat pelaburan tertinggi dalam negara manakala Melaka merekodkan pencapaian pelaburan terbaik selepas lebih dua dekad.
“Jadi hari ini kita menunjukkan bahawa kerajaan BN yang mentadbir negeri ini terutama Melaka dan Johor mempunyai kemampuan untuk mentadbir dengan baik.
“Saya percaya rakyat boleh faham dan rakyat boleh berikan sekali lagi kepercayaan kepada kerajaan BN di Johor dan Melaka, insya Allah,” katanya di sini hari ini.
Akmal berkata, pencapaian kerajaan negeri diterajui BN membuktikan parti itu bukan sekadar menawarkan janji politik semata-mata.
“Kita ada bukti, kita nyatakan bukti. Kita bukan sahaja bercakap atau sembang semata-mata tetapi akhirnya tidak mampu melaksanakan.
“Hari ini BN datang bukan hanya dengan sembang, tetapi kita datang dengan bukti,” katanya lagi.
Tambah beliau, keputusan akhir tetap terletak di tangan rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















