ADUN dipecat BERSATU masih jalankan tugas seperti biasa – Sanusi
ALOR SETAR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipecat parti semalam masih menjalankan tugas masing-masing dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah seperti biasa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang tindakan terhadap ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis perlu melalui proses pentadbiran selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Dzowahir ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah manakala Abdul Razak memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Mereka masih menjalankan tugas seperti biasa ketika ini,” memetik BH online.
Menurut Sanusi, kedua-dua wakil rakyat terbabit kini berstatus ADUN Bebas namun masih menyokong kerajaan negeri.
“Mereka bukan pembangkang, sebaliknya ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri. Kedudukan mereka akan dibincangkan lanjut,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan surat daripada BERSATU berhubung permohonan pertukaran jawatan EXCO dan Timbalan Speaker DUN sebenarnya telah diterima sebelum ini, namun tiada tindakan diambil kerana kedua-dua pemimpin berkenaan masih ahli parti ketika itu.
Katanya, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan BERSATU Kedah pada 10 April lalu.
Semalam, BERSATU menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan Dzowahir dan Abdul Razak dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Selain itu, tujuh lagi wakil rakyat turut digantung keahlian selama dua penggal pemilihan parti melibatkan lima Ahli Parlimen dan dua ADUN dari Perak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








