MAIS gesa siasatan segera kes imej hina Sultan Selangor
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa siasatan segera dijalankan berhubung tindakan tidak bertanggungjawab menyunting serta menyebarkan imej yang menghina Sultan Selangor.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan secara sengaja dengan tujuan melukakan perasaan umat Islam di negeri ini.
Menurutnya, hantaran yang dimuat naik di platform media sosial itu jelas tidak menghormati kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor apabila dikaitkan dengan visual yang bercanggah dengan hukum syarak.
“MAIS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab ini. Ia bukan sahaja menjengkelkan, malah mencemar institusi beraja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyelar beberapa insiden terdahulu yang melibatkan penyebaran imej serupa, yang dikaitkan dengan pemilik akaun media sosial tertentu.
Sehubungan itu, MAIS menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
“Pelaku perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata, institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama yang perlu dihormati serta dipelihara.
Katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, institusi beraja memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian negara, termasuk dalam memperkenan dasar-dasar utama yang menyumbang kepada perpaduan nasional.
Justeru, beliau menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang agar sentiasa menjaga sensitiviti dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencemar kedaulatan institusi beraja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







