Reformasi sistem perlu bagi tingkat penyertaan wanita dalam kepimpinan negara
KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita dalam politik negara perlu diperkukuh menerusi reformasi sistem yang lebih menyeluruh dan tersusun supaya representasi golongan itu dalam proses membuat keputusan dapat dipertingkatkan.
Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, meskipun wanita di Malaysia menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan dan ekonomi, penyertaan mereka dalam arena politik masih rendah serta belum mencerminkan potensi sebenar.
Menurut beliau, ketika wanita menguasai lebih 60 peratus kemasukan ke universiti dan kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencecah 56.6 peratus, perwakilan wanita di Dewan Rakyat masih sekitar 13.5 peratus sahaja.
“Keadaan ini menunjukkan jurang yang ketara antara pencapaian wanita dalam sektor lain berbanding penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan politik,” katanya ketika merasmikan Forum Voices of HER 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata, kekurangan suara wanita dalam politik bukan sahaja memberi kesan kepada golongan wanita, malah menjejaskan pembentukan dasar awam yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Sehubungan itu, Noraini mencadangkan beberapa langkah termasuk pelaksanaan mekanisme kuota atau insentif dalam sistem pilihan raya, penambahbaikan struktur pencalonan parti politik serta pembangunan kepimpinan wanita secara lebih sistematik.
“Peningkatan penyertaan wanita tidak akan berlaku secara semula jadi tanpa intervensi dasar yang jelas, terancang dan berterusan,” katanya.
Beliau turut menegaskan perubahan budaya masyarakat terhadap kepimpinan wanita perlu diperkukuh agar lebih ramai wanita diberi peluang berada di barisan hadapan dalam menentukan hala tuju negara.
Forum bertemakan “Wanita & Politik: Kepimpinan, Representasi & Realiti” itu menghimpunkan pelbagai tokoh tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan cabaran serta strategi memperkukuh peranan wanita dalam landskap politik.
Antara yang mencuri perhatian ialah perkongsian pengalaman Speaker KwaZulu-Natal Legislature dari Afrika Selatan, Nontembeko Boyce, yang berjaya meningkatkan perwakilan wanita di wilayah itu kepada hampir 45 peratus.
Noraini berkata, pengalaman antarabangsa itu membuktikan perubahan signifikan boleh dicapai sekiranya wujud komitmen politik dan dasar yang benar-benar menyokong.
“Perjuangan memperkasa wanita dalam politik adalah usaha penting untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, adil dan progresif,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








