Peniaga maut, kereta terbabas sebelum rempuh lori di Jasin
JASIN – Seorang peniaga maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Sungai Dua Asahan, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu mangsa dari arah Simpang Bekoh menuju ke Asahan dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah lori jenis Hino dari arah Jementah ke Lipat Kajang tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang bekerja sendiri mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu lori berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hasil semakan lanjut mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala pemandu lori mempunyai lima rekod jenayah serta 21 saman trafik dengan sembilan daripadanya masih belum dijelaskan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















