Khutbah Arafah 2026 pengisian utama musim haji, Ustaz Don kembali di TV AlHijrah
KUALA LUMPUR – Siaran langsung Khutbah Arafah 2026 muncul sebagai antara pengisian paling dinanti dalam rangkaian kandungan khas musim Haji dan Aidiladha 1447H yang dibawakan TV AlHijrah, sekali gus mendekatkan detik kemuncak ibadah itu ke hati penonton di tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya komited memperkukuh peranan sebagai medium penyebaran ilmu dengan menyusun pelbagai program berteraskan penghayatan rohani serta laporan semasa dari Tanah Suci bermula April hingga penghujung Mei ini.
Menurut beliau, antara kelainan utama musim ini ialah penampilan semula pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menerusi dua program khas, Talbiah Haji bersama Ustaz Don dan Refleksi Haji Ustaz Don.

Jelasnya, kemunculan semula pendakwah itu dimuktamadkan selepas perbincangan bersama pihak berautoriti agama termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Kita menantikan penampilan semula beliau dan percaya pengalaman lalu telah mendewasakan semua pihak. Beliau akan membawa versi terbaik dalam perkongsian ilmu kali ini, selaras dengan restu serta panduan yang diberikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dalam pada itu, TV AlHijrah memaklumkan tema Arafah: Puncak Munajat & Harapan diangkat tahun ini dengan pelbagai pengisian bagi menzahirkan kemuliaan ibadah haji serta keinsafan di bumi Arafah.
Program Interaktif Haji membuka tirai apabila bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam bermula 20 April, menampilkan kupasan ibadah secara jelas dan praktikal bersama barisan asatizah, selain diperkasa dengan integrasi digital bagi membolehkan penonton berinteraksi secara langsung.

Selain itu, Kisah Mutawif yang bermula 30 April, setiap Khamis dan Jumaat pukul 10 malam mengetengahkan pengalaman sebenar membimbing jemaah di Tanah Suci, diikuti Diari Labbaikallah bermula 11 Mei yang menyajikan laporan langsung dari Mekah setiap hari bekerja pukul 7 malam.
Menjelang kemuncak ibadah, siaran langsung Munajat Arafah pada 26 Mei pukul 5 petang akan mengajak umat Islam menghayati Hari Arafah dalam suasana penuh keinsafan menerusi tausiyah, zikir dan alunan ayat suci al-Quran.
Pada hari sama, Khutbah Arafah 2026 dijadual disiarkan secara langsung sekitar pukul 7 malam waktu Malaysia, disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, sekali gus memberi peluang rakyat mengikuti detik agung yang menghimpunkan jutaan umat Islam di Padang Arafah.
Dalam meraikan Aidiladha, program Peristiwa Hari Tasyrik pula bersiaran pada 28 hingga 30 Mei, pukul 9 malam dengan kupasan hikmah hari-hari Tasyrik termasuk kepentingan zikir serta penghayatan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Selain itu, rancangan Assalamualaikum turut menampilkan segmen khas haji setiap hari pukul 7 pagi, manakala Berita AlHijrah menyajikan laporan harian musim haji pukul 8 malam berdasarkan sumber sahih termasuk Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









