Pembenihan awan dua hari atasi gangguan air di Kota Tinggi
KOTA TINGGI – Kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan selama dua hari bermula hari ini bagi menangani kekurangan bekalan air yang menjejaskan lebih 4,000 pengguna di Felda Lok Heng dan Felda Waha.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil susulan paras Sungai Ulu Sedili Kecil yang semakin kritikal akibat cuaca kering berpanjangan.
Menurutnya, operasi pada 22 dan 23 April itu diputuskan selepas keadaan awan sebelum ini tidak sesuai kerana terlalu nipis untuk menghasilkan hujan.
“Saya ingin maklumkan pada 22 dan 23 April, tindakan pembenihan awan akan dilaksanakan selepas sebelum ini keadaan awan di kawasan terbabit tidak sesuai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, penurunan paras sungai berkenaan memberi kesan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng sehingga tidak lagi mampu menampung keperluan pengguna.
Tambahnya, pelbagai langkah mitigasi telah diambil kerajaan negeri bersama agensi berkaitan termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub serta usaha pemindahan air dari Sungai Lukah.
Namun begitu, kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat diteruskan berikutan keadaan sumber air yang terhad, selain tahap kemasinan tinggi di Sungai Lukah yang tidak sesuai untuk dirawat menggunakan fasiliti sedia ada di LRA Lok Heng.
“Sebagai langkah penyelesaian segera, Ranhill SAJ kini sedang memindahkan dan memasang set loji penyahgaram dari Forest City ke LRA Lok Heng. Loji itu dijangka mampu menghasilkan sekitar dua juta liter air terawat sehari.
“Usaha ini diharapkan dapat membantu memulihkan dan menstabilkan semula bekalan air secepat mungkin, sekali gus mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk terjejas di kawasan berkenaan.,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








