JENAYAH & MAHKAMAH

Rakam adik ipar mandi ketika raya, imam sambilan didenda RM8,000

KOTA BHARU – Seorang imam sambilan dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya yang sedang mandi dalam kejadian ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bertindak dengan niat mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 27 tahun dengan merakam mangsa ketika mandi menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh pada pukul 6.30 petang pada 24 Mac lalu, iaitu hari keempat sambutan Aidilfitri.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najwa Fahima Mohamad Fadzil.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa merupakan adik ipar tertuduh serta kejadian berlaku di rumah nenek ketika keluarga berkumpul sempena Aidilfitri.

Menurutnya, pihak mahkamah perlu mengambil kira kejadian tersebut berlaku di rumah nenek mereka semasa keluarga besar sedang berkumpul sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, tertuduh juga menjadi imam sambilan di sebuah surau di Shah Alam, Selangor.

“Jadi, kedudukan agama yang tinggi seharusnya tidak boleh mengaibkan maruah adik ipar sendiri,” kata Muhammad Nadzir memetik laporan Kosmo! Online.

Peguam bela pula memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah insaf selain menanggung isteri, dua anak termasuk seorang yang menghidap penyakit jantung berlubang serta ibu yang menghidap diabetes.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh dilaporkan telah menjelaskan denda tersebut.

Mengikut fakta kes, mangsa menyedari terdapat telefon bimbit merakamnya ketika mandi sebelum mendapati peranti itu milik abang iparnya yang diletakkan di atas dinding bilik air.

Mangsa kemudian bertindak mengambil telefon tersebut dan membuat laporan polis kerana bimbang rakaman itu disebarkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button