Gangguan tenaga global berpotensi cetus krisis kemanusiaan, Malaysia rangka strategi mampan
KUALA LUMPUR – Gangguan tenaga global berpotensi mencetuskan krisis kemanusiaan dan kejutan sistemik yang mengganggu rantaian bekalan serta kestabilan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia perlu mempercepat peralihan kepada strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan cekap dari segi kos bagi menghadapi ketidaktentuan bekalan tenaga di peringkat global.
“Kerajaan mengambil langkah untuk menguruskan pendedahan kepada situasi tidak menentu, mengimbangi keperluan untuk memastikan bekalan mencukupi dengan kepentingan mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup berikutan gangguan bekalan tenaga global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di ibu negara hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, gangguan tenaga global bukan sahaja menjejaskan harga tenaga, malah memberi impak luas terhadap sistem pengeluaran, rantaian bekalan serta kos sara hidup harian di negara maju dan membangun.
“Gangguan terhadap tenaga dan infrastruktur yang memberi implikasi kemanusiaan serta-merta, dengan impak sosioekonomi yang meluas dan berpotensi menambah ketidakstabilan dalam persekitaran yang sedia lemah,” katanya.
Beliau menambah, gangguan tersebut menyebabkan krisis kemanusiaan dan kejutan sistemik yang lebih luas, mengganggu pasaran, menjejaskan rantaian bekalan dan menggugat kestabilan ekonomi merentasi benua.
“Malaysia tidak terkecuali daripada kesan gangguan bekalan tenaga global dan kekal komited untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








