BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran alami pemadaman internet terpanjang dalam sejarah

TEHRAN – Rakyat Iran kini berdepan pemadaman internet berskala nasional paling lama dalam sejarah negara itu, susulan sekatan hampir menyeluruh yang dikenakan kerajaan sejak konflik memuncak hujung Februari lalu.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik data pemantauan NetBlocks, sambungan internet global Iran kini hanya berada pada sekitar satu peratus berbanding tahap sebelum serangan dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari.

Situasi itu menyaksikan rakyat Iran berdepan ‘kegelapan digital’ berpanjangan, dengan akses hanya terhad kepada intranet domestik bagi mendapatkan maklumat asas dan perkhidmatan tertentu.

Sebelum ini, negara berkenaan turut mengalami pemadaman selama 20 hari pada Januari ketika gelombang protes nasional, menjadikan sebahagian besar tahun 2026 dihabiskan dalam keadaan akses internet yang terhad.

NetBlocks memaklumkan, meskipun terdapat negara lain yang pernah mengalami gangguan lebih lama secara berselang-seli, tiada kes setakat ini melibatkan pemadaman internet sepenuhnya di peringkat nasional oleh kerajaan untuk tempoh sepanjang itu, termasuk di kawasan konflik seperti Ukraine dan Gaza.

Pemadaman berulang kali itu turut memberi kesan besar kepada ekonomi digital negara, apabila banyak perniagaan dalam talian gagal bertahan akibat kehilangan akses berterusan, dengan kerugian dianggarkan mencecah puluhan juta dolar setiap hari.

Seorang pereka produk, Kamran, yang berpangkalan di Karaj berhampiran Tehran, berkata beliau akhirnya kehilangan pekerjaan selepas gagal bertahan dalam gelombang terkini.

“Saya terselamat daripada pemberhentian kerja pada Januari, namun tidak pada kali ini. Kini ramai terpaksa bergantung kepada rangkaian tempatan untuk mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, serangan ke atas infrastruktur utama termasuk kilang keluli, kemudahan petrokimia serta aset awam lain dijangka terus menekan ekonomi Iran yang sedia terjejas akibat inflasi tinggi dan kadar pengangguran sebelum tercetusnya konflik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button