Polis tingkat SJR, buru pemandu mabuk di lokasi berisiko tinggi
KUALA LUMPUR – Polis akan mempergiat operasi sekatan jalan raya (SJR) secara menyeluruh khususnya di lokasi dan waktu berisiko tinggi bagi mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, operasi bersepadu berimpak tinggi itu bukan sahaja mampu mengesan pesalah secara langsung, malah memberi kesan pencegahan psikologi kepada pengguna jalan raya.
Menurutnya, kehadiran anggota penguat kuasa secara konsisten terutama pada lewat malam dan hujung minggu dapat meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang.
“Walaupun statistik menunjukkan kes kemalangan akibat pemandu mabuk masih rendah, setiap insiden yang mengorbankan nyawa memberi kesan besar kepada masyarakat, khususnya keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan statistik JSPT, sebanyak 27 kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan pada 2024, manakala 31 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Tambahnya, walaupun peningkatan itu tidak terlalu ketara, setiap kes tetap memberi implikasi serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kes sebegini berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan, justeru aspek kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya perlu dipertingkatkan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, tiada kekangan besar dari segi undang-undang atau siasatan, malah kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara membantu memastikan proses pendakwaan berjalan lancar.
“Cabaran utama bukan hanya penguatkuasaan, tetapi membentuk nilai moral dan kesedaran pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







