BERITA SEMASA

PNSB lancar identiti korporat baharu

SHAH ALAM – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) hari ini secara rasmi melancarkan identiti korporat baharunya sebagai simbol transformasi hala tuju dan kematangan organisasi dalam memacu pembangunan ekonomi Selangor.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini.

Pelancaran identiti baharu itu menandakan kesediaan PNSB untuk melangkah lebih jauh sebagai salah satu pemacu utama kecemerlangan di bawah kerangka Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, perubahan itu melambangkan fasa kematangan organisasi dan identiti baharu itu adalah penanda aras transformasi strategik selepas 35 tahun beroperasi.

“Ia merupakan janji PNSB untuk terus berinovasi dan mencipta nilai jangka panjang demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya ketika berucap.

Pnsb
PNSB hari ini melancarkan identiti korporat baharu.

Dalam pada itu beliau turut menekankan komitmen PNSB dalam memperkukuh kecekapan operasi dan kepelbagaian portfolio.

“PNSB kini mengadaptasi teknologi melalui konsep Smart Office dan integrasi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti. Selain memperkasakan mandat perumahan rakyat melalui projek Rumah Idaman, kami kini mengorak langkah berani meneroka sektor berimpak tinggi seperti industri aeroangkasa dan pengurusan dana modal teroka (VC) bagi menjamin kemampanan ekonomi masa hadapan,” katanya.

Pnsb
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berucap pada majlis pelancaran identiti korporat baharu PNSB.

Sementara itu Amirudin dalam ucapannya, menyatakan keyakinan terhadap peranan strategik PNSB dan identiti korporat baharu itu menjadi penanda aras pembangunan Negeri Selangor.

“Apa yang dibina atau dilabur hari ini akan menjadi warisan Selangor pada masa hadapan,” katanya.

Pnsb
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan majlis pelancaran identiti korporat baharu PNSB.

Pelancaran ini turut disusuli dengan pengenalan pelan perniagaan strategik lima tahun PNSB yang dikenali sebagai SHIFT30 yang bertujuan untuk mempelbagai sumber pendapatan dan memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button