Enggan serah diri, lelaki disyaki bunuh adik ditembak mati
TENOM – Polis menembak mati seorang lelaki yang disyaki menembak adiknya sebanyak lapan kali di Kampung Kangkawan, Jalan kemabong, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Azmir Abd Razak, suspek yang berusia 57 tahun, dilaporkan menggunakan senapang buatan sendiri dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Difahamkan, mangsa yang berusia 54 tahun, ditembak di bahagian belakang badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, lapor BH Online.
“Pihak kami menerima maklumat pada pukul 8.54 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Penduduk tempatan memaklumkan bahawa suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut sesiapa yang mendekatinya.
“Polis mengepung rumah tersebut dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan,” kata Azmir.
Tambahnya, pihaknya turut melepaskan gas pemedih mata ke dalam rumah berkenaan, namun suspek masih tidak memberi Kerjasama.
Bagaimanapun, keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila suspek berlari ke dapur dan menghalakan senapang ke arah anggota polis berhampiran tingkap.
“Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan tiga das tembakan, mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek,” katanya.
Suspek rebah di dapur dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemeriksaan di lokasi menemukan senapang buatan sendiri itu masih berisi satu peluru hidup yang kemudiannya dirampas.
Turut dirampas, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















