JSJN rekod 306,230 tangkapan melibatkan kes dadah sejak 2023
KUALA LUMPUR – Sebanyak 306,230 tangkapan melibatkan kes dadah direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam tempoh tiga tahun sejak 2023.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sehingga 2025, JSJN merekodkan sejumlah 242,075 kes dadah yang menunjukkan trend peningkatan berterusan di seluruh negara.
Sepanjang tempoh itu, jumlah keseluruhan yang direkodkan ialah 73,340 kes pada tahun 2023, meningkat kepada 81,090 kes (2024) dan seterusnya 87,645 kes (2025).
“Jumlah tangkapan keseluruhan turut menunjukkan peningkatan daripada 94,799 orang kepada 102,201 orang dan seterusnya 109,230 orang.
“Peningkatan ini membabitkan kes berkaitan bekalan dan pemilikan dadah, dengan rampasan serta tangkapan membabitkan dadah utama seperti syabu, ketamin, MDMA dan ganja, serta pembabitan pengedar dan sindiket terancang termasuk rangkaian tempatan dan antarabangsa,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Hussein berkata, siasatan membabitkan bekalan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) ADB, Seksyen 39A(1) ADB dan Seksyen 6B ADB.
Manakala bagi memiliki dadah pula, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) ADB 1952, Seksyen 6 akta sama, Seksyen 9 Akta Racun 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“JSJN melihat hala tuju dasar dadah negara dalam tempoh lima tahun akan datang bukan sebagai pilihan antara penguatkuasaan atau pencegahan, tetapi sebagai peralihan strategik daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan pencegahan menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sindiket, pengedar dan rangkaian kewangan jenayah, sebaliknya penguatkuasaan terus ditingkatkan.
“Bagaimanapun, fokus nasional akan terus diperkukuh di peringkat akar umbi melalui pencegahan awal berasaskan pendidikan, komuniti dan institusi keagamaan.
“Malah, ia turut melibatkan kawalan menyeluruh terhadap bahan prekursor dan rantaian bekalan dan intervensi awal sebelum ketagihan berlaku, khususnya dalam kalangan belia,” tegasnya.
Hussein berkata, pendekatan itu didorong oleh kesedaran bahawa setiap penagih baharu adalah kegagalan pencegahan, bukan kejayaan penguatkuasaan.
“Matlamat JSJN adalah jelas iaitu mengurangkan permintaan, melumpuhkan bekalan dan melindungi generasi akan datang sebelum mereka terjerumus ke dalam kitaran ketagihan dan jenayah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








