Kapal China batal laluan Selat Hormuz, keselamatan tidak terjamin
ISTANBUL – Sekurang-kurangnya dua kapal milik China membatalkan pelayaran melalui Selat Hormuz susulan ketegangan memuncak di Asia Barat ketika ini.
Menurut data MarineTraffic yang dipetik Anadolu Ajansi pada Jumaat, kapal berkenaan dikendalikan oleh COSCO Shipping, antara pengendali kontena dan kapal tangki minyak terbesar dunia.
Dua kapal kontena ultra besar itu, CSCL Indian Ocean dan CSCL Arctic Ocean, dilaporkan berpatah balik sekitar jam 3 pagi waktu GMT selepas cuba merentasi laluan berkenaan.
MarineTraffic memaklumkan, tindakan itu menunjukkan laluan tersebut tidak lagi selamat untuk digunakan oleh kapal komersial susulan konflik yang semakin meruncing di rantau berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan Caixin Global menyebut sebuah kapal kargo China berjaya menggunakan koridor pelayaran baharu di perairan Iran bagi mengelak Selat Hormuz.
Koridor yang diwujudkan sejak 13 Mac itu terletak antara Pulau Larak dan Pulau Qeshm, sekali gus membolehkan kapal mengelak laluan tengah yang lebih berisiko.
Langkah tersebut diambil selepas beberapa syarikat perkapalan menangguhkan operasi ke dan dari negara Teluk sejak awal bulan ini.
Gangguan terhadap laluan utama itu berlaku susulan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran baru-baru ini, yang kemudiannya dibalas Tehran dengan serangan ke atas pangkalan berkaitan AS di beberapa negara Teluk.
Situasi itu menjejaskan pergerakan kapal tangki minyak di Selat Hormuz, sekali gus memberi kesan kepada bekalan tenaga global serta mendorong peningkatan harga minyak dunia.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik penting yang menjadi nadi kepada perdagangan dan penghantaran minyak global, dengan sebahagian besar eksport minyak dunia melalui kawasan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















