Iran benarkan ‘kapal sahabat’ lalui Selat Hormuz
DUBAI – Data penjejakan kapal menunjukkan, Iran membenarkan sejumlah kecil kapal komersil melalui Selat Hormuz.
Laporan al-Jazeera hari ini yang memetik data penjejakan maritim, Windward berkata, jumlah pelayaran itu adalah “hampir dua kali ganda” berbanding angka yang dilihat dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut laporan Winward, lapan buah kapal, tidak termasuk kapal yang mengibarkan bendera Iran, dikesan berada di laluan perairan itu melalui sistem pengenalan automatik kapal (AIS), semalam.
Penganalisis Windward, Michelle Wiese Bockmann berkata, semakin banyak kapal kini mengubah laluan melalui perairan wilayah Iran, menunjukkan bahawa Tehran membenarkan “pelayaran berasaskan kebenaran kepada negara-negara sahabat.”
“Kapal yang berkaitan dengan Barat tidak akan secara sukarela memasuki perairan Iran, tetapi kemungkinan kapal dari China, India dan negara lain akan berbuat demikian,” kata Bockmann dalam satu hantaran di X.
Sementara itu, laporan MarineTraffic pula merekodkan sembilan pelayaran pada hari Ahad dan Isnin, berbanding lima pelayaran dalam tempoh dua hari sebelumnya.
Laluan melalui selat itu, yang biasanya membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak global, merosot kepada lebih 95 peratus sejak bermulanya perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, 28 Februari lalu.
Pelayaran harian oleh kapal bukan milik Iran, kebanyakannya kapal berbendera China, India dan Pakistan, telah merosot kepada angka satu digit berikutan ancaman Iran terhadap perkapalan di rantau tersebut.
Penghentian hampir sepenuhnya trafik di laluan perairan itu telah menyebabkan harga minyak melonjak melebihi AS$100 setong, peningkatan lebih 40 peratus berbanding sebelum perang bermula.
Tehran juga menghantar mesej bercampur-campur mengenai status selat tersebut, yang bersempadan dengan Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dilaporkan sebagai berkata semalam, selat itu “terbuka, tetapi tertutup kepada musuh kami”, selepas jurucakap Kor Pengawal Republikan Iran (IRGC) memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melalui selat berkenaan akan diserang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








