BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Gema Raya Putrajaya catat jualan RM1.1 juta

PUTRAJAYA – Festival Gema Raya Putrajaya 2026 mencatat nilai jualan keseluruhan mencecah RM1.1 juta setakat 13 Mac lalu, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada pengunjung terhadap penganjurannya.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, Gema Raya Putrajaya 2026 merupakan edisi pertama yang dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Kementerian Keterjaminan Makanan melalui penglibatan agensi berkaitan seperti FAMA.

“Penganjuran ini diwujudkan sebagai platform yang menghimpunkan elemen keusahawanan, makanan, seni budaya dan komuniti dalam satu festival Ramadan dan Syawal di Putrajaya.

“Sokongan daripada kementerian serta rakan strategik memberi keyakinan untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan yang mampu memberi impak kepada ekonomi usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu turut dimeriahkan dengan penganjuran sesi khas Jualan Happy Hour Kombo Agro MADANI yang menawarkan pelbagai produk makanan serta barangan agro tempatan pada harga istimewa.

Program berkenaan diadakan bersama CEO Pulse Group, wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta rakan penaja Lotus’s Malaysia.

Selain itu, sesi berkenaan turut diserikan dengan penyerahan Bakul Makanan Lotus’s kepada 50 pengunjung terpilih sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Rayme berkata, festival itu turut memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk secara terus kepada pengguna selain merancakkan aktiviti ekonomi komuniti menjelang Aidilfitri.

Dalam perkembangan sama, wakil Lotus’s Malaysia memaklumkan penyertaan syarikat itu sebagai rakan penaja merupakan sebahagian daripada usaha menyokong komuniti melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

“Melalui pemberian Bakul Makanan serta pelbagai aktiviti bersama pengunjung, kami berharap dapat berkongsi kegembiraan Ramadan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Rayme menambah, pihaknya berterima kasih kepada semua penaja dan rakan strategik seperti PULSE Group, Hotel PULSE Grande, Lotus, Proton dan Guardian yang menyokong perjalanan Gema Raya tahun ini dan berharap kerjasama lebih meluas dapat diwujudkan pada masa hadapan.

“Insya-Allah, dengan sokongan padu daripada semua pihak, Gema Raya tahun depan akan menjadi festival Ramadan Raya yang lebih gemilang, bukan sahaja dari segi program tetapi juga pengalaman dan keselesaan pengunjung,” katanya.

Festival yang berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga 19 Mac 2026 itu menghimpunkan 300 usahawan tempatan daripada pelbagai segmen perniagaan termasuk makanan dan minuman, produk agro, pakaian raya, aksesori serta keperluan Aidilfitri.

Antara tarikan utama ialah peluang memenangi sebuah Proton e.MAS 5 Prime menerusi cabutan bertuah sepanjang tempoh penganjuran.

Penganjuran festival itu dijangka mencapai nilai jualan keseluruhan sebanyak RM2.5 juta menjelang akhir program serta terus merancakkan ekonomi usahawan tempatan di samping mengangkat Putrajaya sebagai destinasi festival Ramadan dan Syawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button