POLITIK

Kulasegaran pertahan tindakan jumpa Arun di luar mahkamah

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M Kulasegaran mempertahankan tindakannya bertemu aktivis, Arun Dorasamy di Kompleks Mahkamah Jawi di Pulau Pinang pagi tadi.

Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP itu berkata, beliau berada di Pulau Pinang sejak semalam bagi menghadiri satu mesyuarat dan singgah sebentar di mahkamah ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya singgah di mahkamah untuk bercakap dengan Arun tentang kepercayaan terhadap proses undang-undang sementara beliau bersedia untuk berdepan dengan prosiding akan datang.

“Saya ingin menjelaskan saya hanya bertemu Arun sekejap di kompleks mahkamah sebelum beredar. Saya tidak hadir di dalam bilik mahkamah semasa pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan.

“Seperti biasa, semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan proses sewajarnya mestilah dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Related Articles

Kulasegaran kemudiannya berkata, beliau mengenali Arun ketika dia mewakili M Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan penjagaan anak-anaknya.

Sebagai rekod, Arun merupakan pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi, sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk menyokong Indira.
Kulasegaran sebelum ini berkhidmat sebagai peguam kepada Indira.

Tindakan Kulasegaran ‘menemani’ aktivis tersebut menjadi tular apabila imej dan laporan berita merakamkan timbalan menteri berdiri bersama Arun dan pasukan guamannya sebelum aktivis itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Ini sekaligus mengundang kecaman pelbagai pihak kerana tindakan sedemikian memberi persepsi seolah-olah kerajaan memihak kepada Arun.

Perkara itu disuarakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad ketika mempersoalkan tindakan Kulasegaran

“Kita tak nak perkara ini memberi gambaran yang salah kepada rakyat, seolah-olah kerajaan memihak kepada Arun atau cuba menunjukkan sokongan politik terhadap beliau.

“Kita bimbang juga tindakan ini boleh rosakkan imej Kerajaan MADANI dan perdana menteri di mata rakyat Malaysia,” kata Faezuddin dalam satu hantaran di Facebook.

Anggota Jawatankuasa Pusat PSM, Gandipan Nantha Gopalan, menegaskan bahawa sebagai anggota parlimen, peranan Kulasegaran adalah “bukan untuk memberikan sokongan kepada seorang rasis”, tetapi untuk menggubal undang-undang yang lebih baik.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Saleh, turut senada ketika membandingkan kes Arun dengan penceramah Zamri Zinoth yang turut didakwa di mahkamah hari ini.

“Adakah SOP berbeza sebab Arun diiringi oleh timbalan menteri berbanding Zamri?” tulis Akmal di Facebook.

Dia berkata demikian ketika mempersoalkan kenapa Zamri digari sedangkan Arun tidak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button