BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan 12 individu termasuk perancang utama kes khianat dan ugutan terhadap Cikgu Chandra

SHAH ALAM – Polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes khianat serta ugutan jenayah yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan semua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun itu bermula Khamis lalu hingga semalam di beberapa lokasi termasuk di kawasan Banting, Subang dan Serdang.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan tangkapan, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan insiden yang disiasat termasuk perancang utama.

“Tangkapan dilakukan menerusi operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Shazeli Kahar berkata, seramai tujuh suspek masih ditahan bagi membantu siasatan manakala lima suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

“Dalam tangkapan ini, kita juga berjaya menahan perancang utama insiden berkenaan manakala motif kejadian berdasarkan siasatan adalah disebabkan rasa tidak puas hati dan terguris perasaan,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati lima daripada tujuh suspek yang masih ditahan mempunyai rekod lampau bersabit pelbagai kes jenayah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah.

Menurutnya, tiga lagi suspek masih dikesan namun setakat ini tiada butiran lanjut mengenai individu berkenaan diperoleh.

“Selain tangkapan suspek, turut dirampas adalah tiga kenderaan jenis Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera berwarna kelabu serta dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Y16 yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Selain itu, 14 telefon bimbit pelbagai jenis, sebuah topi keledar serta pakaian yang dipakai semasa insiden turut dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Shazeli berkata, siasatan kini diteruskan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan sepenuhnya daripada pelbagai aspek dan orang ramai diminta memberikan ruang bagi memastikan proses perundangan berjalan lancar serta tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Dengan tertangkapnya tujuh suspek ini, polis beranggapan kes ini berjaya diselesaikan,” katanya.

Media pada 9 dan 10 Mac lalu melaporkan polis menerima dua laporan berasingan berhubung insiden menimpa aktivis dikenali sebagai Cikgu Chandra.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, 9 Mac lalu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah aktivis berkenaan di Taman Kinrara.

Suspek yang memakai topeng hitam memecahkan cermin belakang Perodua Viva milik mangsa serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.

Kemudian pada kira-kira pukul 3.20 pagi, 10 Mac lalu, sekumpulan individu datang semula ke rumah mangsa dan mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Tindakan itu menyebabkan sebuah Suzuki Ertiga milik Cikgu Chandra musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button