Berita Semasa

PM setuju penggubalan Akta Kebebasan Maklumat

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN), secara prinsipnya bersetuju dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, bagi mewujudkan parameter serta garis panduan jelas untuk memberi akses kepada orang awam, mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu, antara yang dibincangkan dalam mesyuarat JKKTN, yang sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR), dipengerusikan beliau di bangunan Parlimen semalam.

“Mesyuarat juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023, yang mengemukakan syor-syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara, selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, malam tadi.

Anwar berkata mesyuarat JKKTN itu, membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem pentadbiran kerajaan, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah.

Show More

Related Articles

Back to top button