BERITA SEMASALUAR NEGARA

Netanyahu hilang dari radar, dakwaan cedera atau terbunuh cetus spekulasi

TEHRAN – Misteri menyelubungi keberadaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selepas laporan media Iran mendakwa beliau mungkin terbunuh atau cedera parah dalam siri serangan balas yang berlaku kebelakangan ini.

Laporan yang disiarkan agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim News Agency itu mencetuskan spekulasi meluas apabila Netanyahu dilaporkan tidak muncul di khalayak awam hampir empat hari.

Perkara itu disifatkan situasi luar biasa memandangkan beliau sebelum ini kerap menyampaikan mesej video harian kepada rakyat Israel.

Menurut laporan tersebut, semua kenyataan yang dikaitkan dengan Netanyahu sejak beberapa hari lalu hanya dikeluarkan dalam bentuk tulisan tanpa sebarang rakaman video atau gambar sebagai pengesahan.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan kawasan sekitar kediaman rasmi perdana menteri berkenaan dilaporkan berada di bawah kawalan keselamatan yang sangat ketat, namun tiada penjelasan rasmi diberikan pihak berkuasa Israel.

Media Iran turut mendakwa Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir serta adik Netanyahu, Iddo Netanyahu, mungkin turut terkorban dalam serangan tersebut, namun dakwaan itu masih belum dapat disahkan.

Dalam perkembangan lain, dua utusan Amerika Syarikat, Steve Witkoff dan Jared Kushner, dilaporkan membatalkan lawatan rasmi ke Israel yang dijadualkan berlangsung hari ini secara tiba-tiba.

Lawatan berkenaan pada asalnya bertujuan mengadakan rundingan peringkat tinggi berhubung konflik yang sedang memuncak antara Israel dan Iran.

Media Israel melaporkan pembatalan tersebut tanpa memberikan sebab jelas, manakala pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Israel setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Beberapa sumber mendakwa kemungkinan wujud perbezaan pandangan antara Washington dan Tel Aviv berhubung skop operasi ketenteraan terhadap kemudahan minyak Iran.

Konflik yang tercetus pada 28 Februari lalu susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel kini semakin melebar apabila melibatkan pertempuran dengan kumpulan Hezbollah di sempadan utara Israel serta ketegangan berkait kumpulan Houthis di Yaman.

Setakat ini, konflik tersebut dilaporkan meragut lebih 2,000 nyawa dengan ratusan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Lebih mencetuskan tanda tanya ialah ketiadaan sebarang penafian rasmi daripada kerajaan Israel atau pejabat Netanyahu berhubung dakwaan yang dibuat media Iran itu, sekali gus menyebabkan spekulasi terus tersebar luas di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button