Malaysia lancar MY-AI Standards perkukuh tadbir urus kecerdasan buatan
KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh agenda kecerdasan buatan (AI) negara dengan pelancaran platform digital MY-AI Standards yang menjadi pusat rujukan bagi pembelajaran, kolaborasi dan sokongan pelaksanaan standard AI.
Pelancaran platform tersebut disempurnakan Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada majlis yang berlangsung di Menara Cyber Axis, Cyberjaya hari ini.
Gobind berkata, Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi AI Nation 2030 dan menyokong Pelan Tindakan AI Malaysia 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada usaha mempercepat penggunaan AI dalam sektor strategik, membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh tadbir urus teknologi secara bertanggungjawab.
Selain itu, platform tersebut turut menyokong pelaksanaan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 bagi meningkatkan keyakinan terhadap ekosistem digital negara.
“MY-AI Standards diwujudkan bagi membantu sektor awam, industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta institusi akademia memahami dan melaksanakan standard AI antarabangsa secara lebih sistematik dan praktikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Platform itu juga memusatkan rujukan kepada standard AI antarabangsa serta menyediakan panduan pelaksanaan dan alat sokongan seperti templat dan senarai semak bagi membantu organisasi menilai tahap kesiapsiagaan mereka.
Malaysia turut terlibat secara aktif dalam pembangunan standard AI global melalui penyertaan dalam ISO/IEC JTC 1/SC 42, iaitu jawatankuasa teknikal antarabangsa yang membangunkan standard kecerdasan buatan.
Sementara itu, Gobind turut berkata, kepimpinan dalam AI bukan sekadar mengenai teknologi tercanggih, sebaliknya membina kepercayaan dalam ekosistem digital negara melalui tadbir urus yang kukuh serta pematuhan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) akan memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan secara berkesan.
“Langkah ini sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan sektor awam, memperkukuh daya saing industri serta menyokong pembangunan ekonomi digital Malaysia yang selamat dan dipercayai,” katanya lagi.
Turut hadir Timbalan Menteri Digital, Wilson Ugak Kumbong; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Digital, MA Sivanesan serta Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Al-Ishsal Ishak.
Al-Ishsal Ishak berkata, MY-AI Standards merupakan langkah strategik bagi memastikan pembangunan AI di negara ini dilaksanakan secara selamat, telus dan berintegriti.
“Dalam landskap AI yang semakin berkembang, dasar sahaja tidak mencukupi tanpa standard yang jelas dan boleh diaudit,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








