BERITA SEMASA

Tiang bendera Selangor setinggi 120 meter simbol perpaduan rakyat

SHAH ALAM – Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Tiang Bendera Negeri Selangor yang dibina di Dataran Selangor menjadi lambang perpaduan rakyat negeri itu serta menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Baginda bertitah, mercu tanda baharu tersebut diharap mampu memupuk rasa hormat terhadap bendera dan memperkukuh semangat cintakan negeri dalam kalangan rakyat Selangor.

“Ketika mengilhamkan pembinaannya, Beta amat berharap tiang bendera ini akan menjadi lambang perpaduan rakyat Selangor sekali gus menyemarakkan rasa hormat kepada bendera dan semangat cintakan negeri ini,” titah baginda memetik laporan Kosmo! Online ketika merasmikan Tiang Bendera Negeri Selangor, di sini hari ini.

Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) ketika merasmikan majlis di Shah Alam pagi tadi.

Menurut baginda, pembinaan tiang bendera setinggi 120 meter itu juga menjadi simbol kebanggaan baharu negeri selain menambah satu lagi mercu tanda di bandar raya Shah Alam.

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa tarikh 8 Mac dipilih bagi perasmian tersebut bersempena Hari Keputeraan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda menjelaskan, Almarhum Sultan Salahuddin merupakan tokoh penting dalam pembangunan Shah Alam dan telah mengisytiharkan bandar raya itu sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.

Dalam perkembangan sama, baginda turut berkenan agar Bendera Malaysia dikibarkan di puncak tiang tersebut selama 10 hari sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia setiap tahun.

Titah baginda, pengibaran Jalur Gemilang itu melambangkan semangat patriotisme dan perpaduan di peringkat kebangsaan antara Selangor dan negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Upacara menaikkan bendera pada majlis perasmian itu disempurnakan oleh 40 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tiang bendera berkenaan turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara.

Projek pembinaan yang menelan kos RM8.5 juta itu dibiayai oleh kerajaan negeri Selangor dan berjaya disiapkan enam hari lebih awal daripada jadual asal selepas bermula pada 10 September 2024.

Selain itu, Dataran Selangor turut dihiasi motif Bunga Tanjung berkelopak sembilan yang melambangkan sembilan daerah di negeri berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button