JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS rampas 1,731 tan sisa haram di Pelabuhan Klang

PORT KLANG – Sebanyak 73 kontena membawa 1,731 tan sisa terlarang dirampas dalam tempoh lebih sebulan menerusi 12 fasa pemeriksaan Op Green Shield di Pelabuhan Klang.

Komander Pelabuhan Klang, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan tersebut dijalankan sejak 27 Januari lalu hingga semalam sebagai sebahagian usaha mempergiat penguatkuasaan terhadap import sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram.

Menurutnya, operasi akan diteruskan dengan lebih agresif apabila 213 lagi kontena telah dikenal pasti untuk diperiksa minggu ini.

“Ini sebahagian daripada penguatkuasaan berterusan di bawah Op Green Shield. Kita tidak akan memperlahankan usaha, sebaliknya memperluaskan pemeriksaan bagi memastikan pelabuhan negara tidak dijadikan tapak lambakan sisa terlarang,” memetik NST online.

Semalam, pegawai AKPS yang diketuai beliau memeriksa 21 kontena di Northport, Pelabuhan Klang dengan kerjasama Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM), Unit Kawalan Berpusat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) Selangor.

Hasil pemeriksaan mendapati tiga kontena mengandungi 22,000 kilogram sisa campuran e-waste dan besi buruk setiap satu, manakala sebuah lagi mengandungi 23,000 kilogram e-waste.

“Sebuah kontena turut didapati membawa 30,200 kilogram sisa terjadual berupa wayar dan kabel elektrik, menjadikan jumlah rampasan terkini sebanyak 119.2 tan. Kesemua kontena itu memasuki negara ini bulan lalu,” katanya lagi.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pengimportan sisa terjadual adalah dilarang sama sekali.

Nik Ezanee berkata, semua kontena yang dirampas akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu arahan lanjut daripada JAS negeri dan persekutuan bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan cadangan telah dikemukakan untuk mengklasifikasikan e-waste di bawah kategori larangan mutlak menerusi Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, cadangan itu bertujuan memindahkan e-waste ke Jadual Pertama perintah berkenaan, berbanding ketika ini disenaraikan di bawah Jadual Kedua yang membenarkan import dengan permit diluluskan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button