VFive sasar IPO suku ketiga 2028, perkukuh pelan strategik 100 tahun
PUTRAJAYA – VFive Group Sdn. Bhd. (VFive) menetapkan sasaran penyenaraian awam (IPO) pada suku ketiga tahun 2028 sebagai sebahagian pelan pertumbuhan jangka panjangnya melalui dua sektor utama iaitu pembinaan dan pengurusan fasiliti.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah itu merupakan fasa penting dalam perancangan strategik syarikat bagi tempoh antara 50 hingga 100 tahun akan datang, untuk muncul sebagai pemain utama dalam kedua-dua sektor berkenaan.
Menurut beliau, ketika ini kedua-dua sektor berkenaan menyumbang kira-kira 70 peratus pendapatan syarikat dengan anggaran nilai RM590 juta.
“VFive mensasarkan IPO pada suku ketiga 2028 melalui dua sektor teras ini. Tumpuan utama adalah untuk terus memperkukuh pendapatan mampan.
“Syarikat juga mengutamakan kontrak yang menjamin pendapatan sekurang-kurangnya lima tahun bagi mengukuhkan profil pendapatan berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 di Putrajaya Marriott Hotel malam ini.
Majlis Apresiasi Gema Qalbi 2025 yang dianjurkan saban tahun itu bertujuan menghargai kakitangan, vendor, pembekal dan rakan strategik yang menyumbang kepada prestasi syarikat sepanjang tahun.
Pada majlis itu, sebanyak 30 anugerah disampaikan kepada warga kerja cemerlang termasuk hadiah berupa pakej umrah, kepingan emas, barangan kegunaan dan wang tunai. Turut diraikan anak-anak dari institusi tahfiz dan asnaf.

Mohd Syafiq berkata, dalam mempelbagaikan sumber hasil syarikat, VFive merancang mengurangkan kebergantungan kepada projek kerajaan yang kini menyumbang sekitar 80 peratus daripada pendapatan syarikat dengan beralih secara berperingkat ke sektor swasta.
Bagaimanapun katanya, syarikat tidak bercadang meneroka cabang perniagaan baharu dalam masa terdekat, sebaliknya menumpukan kepada pengukuhan bidang sedia ada yang dikenal pasti berprestasi tinggi.
Lima bidang utama yang menjadi teras perniagaan VFive adalah penganjuran acara, media dan pengiklanan; pengurusan fasiliti; pembinaan; teknologi maklumat (IT) dan pembangunan.
Sementara itu katanya, antara pencapaian terbesar yang dicapai syarikat adalah pertambahan jumlah kakitangan sebanyak kira-kira 200 peratus iaitu dari 300 kepada 1,000 pekerja dalam tempoh tahun lalu sehingga semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







