Umat Islam digesa muhasabah diri, jangan mudah hukum orang – Ustaz Auni Mohamed
KUALA LUMPUR – Umat Islam diseru agar segera bermuhasabah diri, berhenti menuding jari dan tidak sewenang-wenangnya menghukum orang lain, sebaliknya kembali kepada Allah dengan penuh rasa insaf sebelum tibanya hari pembalasan.
Pendakwah bebas, Ustaz Auni Mohamed menegaskan bahawa manusia kini berada pada fasa akhir perjalanan dunia, dengan tanda-tanda kecil kiamat menurutnya telah berlaku, manakala yang tinggal hanyalah menunggu tanda-tanda besar.
“Ini bukan lagi masa untuk mencari salah orang lain. Kita semua sedang menuju hari perhitungan. Setiap daripada kita wajib sedar diri dan bertaubat,” katanya dalam satu rakaman tazkirah yang tular di TikTok.
Beliau mengingatkan bahawa seseorang hanya mampu memberi apa yang ada dalam dirinya.
Justeru, jika hati dipenuhi kebaikan, maka kebaikan yang akan terpancar, manakala kejahatan dan tuduhan lahir daripada hati yang kotor.
“Orang yang kaya memberi harta, orang berilmu memberi ilmu. Begitu juga hati, kalau hati itu jahat, maka itulah yang akan keluar. Kita tidak akan memberi sesuatu yang kita tidak miliki,” jelasnya.
Ustaz Auni turut mengkritik sikap segelintir pihak yang mudah melabel, menghukum dan menuduh orang lain sesat, kafir atau salah, seolah-olah mereka berada di kerusi hakim, sedangkan hakikatnya semua manusia berada di ‘kandang pesalah’ di hadapan Allah.
“Jangan cuba keluar daripada kandang pesalah dan pakai jubah hakim. Hak mengadili hanya milik Allah. Setiap zarah kebaikan dan kejahatan akan dihisab dengan adil, tanpa mengikut selera manusia,” tegasnya.
Beliau turut menyeru umat Islam agar menghentikan budaya menilai dan menghukum orang lain, sebaliknya fokus memperbaiki diri kerana masa untuk lalai sudah berlalu.
“Ini musim untuk kita insaf. Kalau masih ada yang lupa Allah, maka rugilah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



