LUAR NEGARA

71 penduduk Gaza terbunuh ketika cuba dapatkan bantuan makanan

GAZA – Sekurang-kurangnya 71 rakyat Palestin yang sedang mencari bantuan kemanusiaan dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di Gaza, menurut sumber perubatan kepada Al Jazeera, ketika krisis kebuluran di wilayah terkepung itu semakin meruncing.

Daripada jumlah itu, 51 mangsa maut manakala lebih 648 lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk yang sedang menuju ke pintu lintasan Zikim di utara Gaza, lokasi trak bantuan dijangka masuk, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Di selatan Gaza pula, sekurang-kurangnya 20 lagi individu yang turut berusaha mendapatkan bantuan makanan terbunuh berhampiran Koridor Morag berdekatan Khan Younis, seperti dilaporkan Kompleks Perubatan Nasser.

Antara yang sedang berjuang untuk terus hidup ialah Jihan al-Quraan, seorang ibu yang ditemui Al Jazeera sambil mendukung anak perempuannya yang kurus kering.

“Saya tak tahu nak buat apa. Lihatlah perutnya tiada isi, hanya tulang. Sudah sebulan dia tak makan roti,” katanya dalam nada pilu.

Lebih menyayat hati, statistik terkini menunjukkan lebih 1,000 penduduk Palestin yang sedang menunggu bantuan telah terbunuh berhampiran pusat agihan makanan yang dikendalikan oleh GHF (Global Humanitarian Foundation) iaitu sebuah organisasi yang didokong oleh Amerika Syarikat dan Israel serta mula beroperasi sejak akhir Mei lalu.

GHF kini menjadi sasaran kritikan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang menyifatkan bantuan yang disediakan terlalu sedikit, selain keadaan keselamatan di sekitar lokasi agihan yang sangat membimbangkan.

Situasi itu berlaku ketika agensi kemanusiaan dan pegawai kesihatan memberi amaran tentang peningkatan mendadak kes kebuluran, khususnya melibatkan kanak-kanak dan warga tua.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sebanyak 154 kematian akibat kekurangan zat makanan telah direkodkan, termasuk 89 kanak-kanak iaitu kebanyakannya berlaku dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Sebuah pemantau kelaparan global turut mengesahkan bahawa situasi kebuluran kini sedang berlaku secara nyata di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button