Hampir 200 penduduk Gaza termasuk 96 kanak-kanak maut kebuluran
GAZA – Pihak berkuasa kesihatan Gaza mengesahkan hampir 200 penduduk, termasuk 96 kanak-kanak terkorban akibat kebuluran berikutan sekatan ketat Israel yang disifatkan sebagai kebuluran buatan manusia.
Sekatan berterusan itu memaksa penduduk yang kelaparan mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan bekalan daripada bantuan udara berisiko serta pusat pengagihan yang dikendalikan oleh GHF.
Hospital di wilayah berkenaan merekodkan empat lagi kematian akibat kekurangan zat makanan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 197 orang, lapor Al Jazeera.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, seramai 12,000 kanak-kanak bawah lima tahun direkodkan mengalami kekurangan zat makanan akut pada Julai lalu iaitu angka bulanan tertinggi setakat ini.
Wartawan Al Jazeera, Ibrahim Al-Khalili menggambarkan keadaan di Bandar Gaza sebagai ‘apokaliptik’ dengan ratusan penduduk berebut cebisan makanan daripada palet bantuan udara yang jatuh di celah runtuhan bangunan.
“Pertarungan di sini bukan lagi untuk mendapatkan makanan, tetapi untuk terus hidup,” katanya.
Seorang penduduk, Mustafa Tanani berkata, banyak bantuan makanan yang dijatuhkan tersangkut di antara bangunan, sekali gus terlalu berbahaya untuk dicapai.
“Kami datang dari jauh, tetapi pulang dengan tangan kosong. Pesawat menjatuhkan bantuan di tempat yang mustahil diambil,” ujarnya.
Hospital Nasser memaklumkan dua kanak-kanak maut akibat kebuluran pada Khamis lalu, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di kawasan al-Mawasi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan hanya 8,700 daripada 290,000 kanak-kanak bawah lima tahun yang memerlukan makanan dan suplemen nutrisi kritikal dapat dibantu setakat ini.
Ketua Rangkaian NGO di Gaza, Amjad Shawa berkata, sekurang-kurangnya 200,000 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan teruk, dengan banyak kematian berpunca daripada ketiadaan susu formula bayi dan suplemen pemakanan sejak Israel mengetatkan sekatan pada Mac lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

