300,000 rakyat malaysia dilatih AI menerusi inisiatif Oracle, MyDIGITAL menjelang 2029
KUALA LUMPUR – Seramai 300,000 rakyat Malaysia akan dilatih dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menerusi kerjasama antara MyDIGITAL Corporation dan Oracle bagi meningkatkan kebolehpasaran serta menyokong perkembangan kerjaya menjelang 2029.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jumlah itu melibatkan pelajar dan golongan profesional yang akan diperkasakan dengan latihan kemahiran serta teknologi AI secara percuma berserta pensijilan global.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi pelancaran Oracle Skills Development Initiative (SDI) hasil kerjasama antara Oracle dan MyDIGITAL Corporation dalam program Oracle AI Experience Live 2026.
Katanya, inisiatif itu dijangka meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja selain menyokong perkembangan kerjaya peserta dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Lebih 200 jam diperuntukkan untuk pembelajaran dan pensijilan menerusi laluan pembelajaran berstruktur selama tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, program itu merangkumi pelbagai teknologi termasuk Oracle Cloud Infrastructure (OCI), OCI Generative AI, OCI Data Science, Oracle APEX, OCI DevOps dan OCI Security.
Tambahnya, latihan tersebut boleh diakses secara percuma melalui platform Oracle MyLearn yang merupakan platform latihan dan pemerkasaan komprehensif daripada Oracle University.
Menurut beliau, pembangunan dan pemerkasaan bakat amat penting bagi memastikan negara berjaya mencapai status negara AI menjelang tahun 2030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











