2,977 dron bentuk Menara Berkembar WTC kenang mangsa 9/11
NEW YORK – Sebanyak 2,977 dron menerangi ruang udara New York dengan membentuk replika Menara Berkembar World Trade Center (WTC) pada skala sebenar, sebagai penghormatan kepada mangsa serangan 11 September 2001 (9/11).
Menurut laporan BBC News, Setiap cahaya yang dipancarkan dron berkenaan mewakili seorang daripada 2,977 mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas itu.
Paparan berkenaan merupakan sebahagian daripada karya seni awam peringatan bertajuk 2,977 Lights Over New York Harbor yang diadakan bersempena ulang tahun tragedi 9/11.
Menurut penganjur, pemasangan seni tersebut dihasilkan menerusi kerjasama artis, penerbit serta anggota komuniti 9/11, termasuk keluarga mangsa, mangsa yang terselamat dan anggota pasukan penyelamat yang bertugas ketika tragedi berkenaan.
Formasi dron itu menghidupkan semula imej ikonik Menara Berkembar yang pernah menjadi mercu tanda langit Manhattan sebelum kedua-dua menara musnah dalam serangan 11 September 2001.
Paparan cahaya berkenaan turut menjadi ruang untuk masyarakat mengenang ribuan nyawa yang terkorban serta memberi penghormatan kepada mangsa, keluarga mereka dan individu yang terlibat dalam usaha menyelamat ketika tragedi itu.
Serangan 9/11 berlaku pada 11 September 2001 apabila empat pesawat penumpang dirampas, dengan dua daripadanya dilanggar ke Menara Berkembar World Trade Center di New York.
Satu lagi pesawat merempuh bangunan Pentagon di Virginia, manakala pesawat keempat terhempas di Pennsylvania selepas penumpangnya cuba mengambil alih kawalan pesawat.
Tragedi itu mengorbankan hampir 3,000 orang dan menjadi antara peristiwa paling memberi kesan dalam sejarah moden Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




