Berita Semasa

Veteran ATM terus disantuni menerusi PVM

MUAR – Kementerian Pertahanan telah melaksanakan Program Peduli Veteran Madani (PVM) peringkat daerah ini yang bertindak sebagai medan untuk interaksi secara dua hala antara kementerian dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, seramai 11 orang veteran ATM telah disantuni selama dua hari siri lawatan kebajikan beliau ke negeri itu.

Katanya, lawatan kebajikan itu melibatkan veteran ATM yang sedang uzur, sakit kronik dan memerlukan perhatian.

“Selain bertanya khabar, kami turut menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang dan kewangan kepada setiap veteran yang diziarahi.

“Dalam lawatan sama, saya juga bertemu dan bertukar pandangan dengan dua orang usahawan veteran yang menceburkan diri sebagai pengusaha kedai makan dan kedai gunting rambut di sekitar daerah itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Turut menyertai program lawatan itu adalah Pegawai Staf 1 Sekretariat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM; Lt Kol Nor Azimi Idris, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Johor; Mej Johadi Jema’at serta wakil persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Johor.

Dalam pada itu, program tersebut turut diteruskan dengan sesi dialog Timbalan Menteri Pertahanan bersama Persatuan Veteran ATM Johor yang diadakan di Hotel Traders Muar.

Katanya, sesi berkenaan merupakan antara kaedah terbaik bagi beliau untuk berdiskusi secara terus bersama ahli-ahli veteran ATM di sekitar Johor.

Jelas beliau, peluang berkenaan digunakan untuk menyampaikan dasar dan maklumat terkini berkaitan hal ehwal veteran.

Dalam sesi yang sama, beliau menzahirkan komitmen bahawa cadangan yang baik akan diperhalusi di peringkat JHEV dan Kementerian demi manfaat veteran ATM pada masa hadapan.

Susulan sesi tersebut, sumbangan 400 Bakul Rahmah telah diberikan kepada 20 persatuan veteran untuk diagihkan kepada veteran yang asnaf.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button