Berita SemasaDalam Negeri

Fahmi Fadzil ucap takziah kepada ahli keluarga Ahmad Nawab

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Tan Sri Ahmad Nawab yang meninggal dunia petang tadi.

Fahmi dalam kenyataannya di Facebook malam ini menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai buat negara.

“Kehilangan ini pastinya sangat dirasai, bukan sahaja oleh penggiat industri, tetapi juga peminat serta pendengar muzik tempatan amnya.

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya ucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham dan sahabat handai, khususnya dalam industri muzik,” katanya.

Legenda muzik tanah air itu meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang tadi di kediamannya di Taman Melewar, Gombak dekat sini hari ini.

Difahamkan, keadaan Allahyarham lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak bulan lalu.

Fahmi berkata, sumbangan Ahmad Nawab dalam industri muzik tanah air terlalu besar.

Katanya, sejak era 1950-an, komposer itu telah menggubah lebih 2,000 lagu, menghasilkan lebih 200 album dan melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni suara.

“Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM – Radio Televisyen Malaysia selama 17 tahun, selain dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh pada 2006.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button