Berita SemasaPolitik

PM sedia isytihar harta bila-bila masa

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kesediaannya untuk mengisytiharkan harta pada bila-bila masa sebagai contoh kepimpinan berintegriti kepada rakyat.

“Saya, kalau diminta esok untuk isytihar harta, esok juga saya buat. Koreklah banyak mana pun… itu caranya untuk jadi pemimpin yang berwibawa dan contoh yang baik. Jika tidak, bagaimana kita mahu mendidik rakyat?” katanya semasa berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Taman Alam Sutera, semalam.

Anwar turut mengkritik pihak yang marah apabila diminta mengisytiharkan harta, dengan menyatakan bahawa jika tiada kesalahan, tiada sebab untuk bimbang.

“Jika kamu tidak bersalah, buat apa takut untuk isytihar harta?” katanya lagi.

Kenyataan Anwar itu muncul selepas Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa pengisytiharan harta hanya perlu dilakukan oleh anggota pentadbiran, sebagaimana yang dipraktikkan kerajaan terdahulu. Pengisytiharan harta itu merupakan antara syarat dalam Memorandum Persefahaman berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam ucapannya, Anwar juga menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya sedang giat memerangi rasuah dan penyelewengan.

“Sesetengah pihak bercakap tentang bangsa, agama dan Islam, tetapi sebenarnya mereka merompak kekayaan negara. Saya tidak mahu perkara itu berterusan,” katanya lagi.

Beliau turut mengungkapkan kebimbangan terhadap kebocoran dana dalam pelbagai kontrak kerajaan. “Setiap kali kita semak, ada sahaja ketirisan dana… ratusan juta dan bilion ringgit. Negara mana yang mampu maju jika perkara itu berterusan?” katanya.

Kerajaan Madani kini komited untuk memerangi rasuah demi membangunkan negara yang lebih maju. Anwar menekankan bahawa sebagai seorang pemimpin, beliau mahu melihat gejala rasuah dan penyelewengan dihapuskan sepenuhnya.

“Mustahil untuk kita memantau setiap kontrak, tetapi apabila ada ketirisan yang begitu besar, negara akan terjejas. Kita perlu ambil tindakan tegas,” jelasnya.

Pada majlis itu, Anwar merasmikan pecah tanah Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) yang akan dibina di Taman Alam Sutera. Projek bernilai RM70 juta ini dijangka siap pada tahun 2028 dan akan mampu menampung sehingga 576 pelajar serta 130 guru.

“Projek ini penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan, khususnya dalam bidang sains dan tahfiz,” katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat menambah projek mega baharu sepanjang tempoh dua tahun kepimpinannya, kerana mahu memberi tumpuan kepada pembangunan yang lebih berdaya tahan dan berimpak tinggi kepada rakyat.

“Saya minta rakyat tidak menilai pencapaian saya hanya berdasarkan kepada projek mercu tanda bangunan pencakar langit,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button