Berita Semasa

ATM tidak akan kompromi sebarang salah laku – Panglima Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku seperti insiden buli membabitkan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata insiden itu jelas mencalar nama baik dan reputasi ALK dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), malah menjejaskan imej ATM sebagai sebuah organisasi yang berdisiplin tinggi dan sangat dihormati.

“Pegawai kadet di ALK perlu memahami segala arahan dan peraturan ditetapkan itu kerana adalah asas kepada pembentukan seorang pegawai tentera.

“ATM tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang akan mencemarkan nama baik organisasi.

“Tambahan, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijunjung, juga arahan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar budaya buli dan sebarang bentuk penganiayaan perlu dihentikan serta-merta,” katanya, memetik laporan BH Online, hari ini.

Jelas beliau, pegawai kadet yang menjalani latihan dan pengajian di ALK perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Universiti dan Kolej 1971 serta perintah tetap dan peraturan di ALK.

Sehubungan itu, katanya lagi, tindakan tegas dan adil akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kejadian salah laku dan tiada istilah tolak ansur dalam mempertahankan nilai dan integriti institusi ketenteraan.

Tambahnya, pegawai kadet ALK juga perlu memanfaatkan peluang yang diberikan sepenuhnya kerana terpilih daripada ribuan yang memohon.

“Penubuhan ALK amat jelas iaitu bagi melahirkan pemimpin atau pegawai tentera yang berwawasan, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan kedaulatan negara.

“ALK juga merupakan kebanggaan ATM kerana ia satu-satunya pusat latihan pegawai kadet yang menggabungkan ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

“Oleh itu, ATM akan memastikan bahawa hanya mereka yang benar-benar berintegriti dan berdisiplin tinggi sahaja yang layak menjadi pemimpin masa hadapan ATM,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad menegaskan setiap warga ATM yang berada di institusi ketenteraan sebagai jurulatih, diberikan amanah dan menggalas tanggungjawab besar dalam membentuk generasi pemimpin di masa akan datang.

“Jurulatih juga perlu menunjukkan contoh yang terbaik serta terus membimbing pegawai kadet dengan penuh dedikasi serta tanggungjawab supaya mereka bukan sahaja berjaya dalam bidang ketenteraan, tetapi juga sebagai individu yang dihormati masyarakat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button