Guru dikhuatiri lemas : Operasi SAR disambung pagi ini
MARAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang guru yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang ketika memancing berhampiran jeti Chenor disambung semula pada pukul 8 pagi ini.
Mangsa, Murdani Ab Rahman, 53 yang bertugas di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras sekitar pukul 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang memancing bersama seorang rakan di sebuah rumah rakit di Pekan Lama Chenor.
“Kira-kira 10 minit selepas mereka tiba, mangsa terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras. Rakannya segera meminta bantuan penduduk kampung berhampiran, tetapi mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wong, penduduk kampung yang dimaklumkan tentang insiden itu kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Operasi SAR melibatkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dimulakan pada pukul 7.45 malam tetapi terpaksa dihentikan pada pukul 9.30 malam kerana hujan lebat.
Beliau memaklumkan operasi disambung semula pada pagi ini dengan bantuan penduduk kampung yang turut serta dalam usaha pencarian.
Maklumat terkini mengenai perkembangan operasi akan dikemaskini oleh pihak berkuasa.