Nelayan lemas ketika cari ketam di Kampung Rantau Panjang
KLANG – Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika sedang mencari ketam dan umpun secara bersendirian di Jeti Pengkalan Sayang Disayang, Kampung Rantau Panjang, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.49 pagi, semalam.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara bergegas ke lokasi selepas menerima laporan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari sampannya sebelum ditemukan lemas pada jarak lima hingga 10 meter dari lokasi kejadian sekitar pukul 1 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ahmad Mukhlis turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan, terutamanya ketika melakukan aktiviti di kawasan perairan.