‘Saya tidak goyah dengan segala ujian, cabaran yang dilalui’ – Pengasas Quantum Metal
KUALA LUMPUR – Syarikat Quantum Metal (QM) memberikan komitmen untuk memastikan segala aset dan simpanan emas setiap ahlinya tidak hilang dan terpelihara.
Menurut Pengasasnya, Datuk Lim Khong Soon, pada masa sama beliau juga tidak goyah dengan ujian yang sedang dihadapi syarikat tersebut.
“Saya selaku pengasas QM tidak sedikit pun goyah dengan segala ujian dan cabaran yang dilalui malah berazam untuk memastikan segala aset dan simpanan emas ahli ahli tidak hilang dan terpelihara.
“Saya yakin dengan laporan audit syari’ah yang akan dikeluarkan oleh pihak Tawafuq selaku perunding syari’ah QM memastikan tiada kerugian walaupun satu sen dipihak ahli ahli QM,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Pengasas Angel Group Agency, Rukhaidah Abd Karim hari ini.
Sementara itu beliau turut bertekad untuk mengukuhkan jenama itu pada tahun ini.
“Saya bertekad untuk membalas segala komitmen dan kesungguhan pemimpin, konsultan dan semua pelanggan QM dengan menjadikan QM lebih kukuh pada tahun 2024 bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global,” katanya.
Baru-baru ini timbul dakwaan pelanggan QM lambat menerima bayaran selepas menjual emas.
Isu mengenai QM turut mendapat perhatian Bank Negara Malaysia (BNM) yang meminta syarikat itu melaksanakan langkah pencegahan untuk mengelakkan aktivitinya daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.
BNM menjelaskan bahawa QM adalah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).