Nafuzi Zain letak jawatan ketua jurulatih Kedah
ALOR STAR – Mohd Nafuzi Mahammad Zain meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, sehubungan itu Victor Andrag dilantik menjadi ketua jurulatih interim pasukan Liga Super Kedah bermula esok.
“Permohonan ini telah diperhalusi dengan sedalamnya oleh pihak pemilik, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan diterima dengan rasa berat hati tetapi penuh rasa hormat.
“Sejak bersama pasukan pada Disember 2022 hingga sekarang, beliau telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi dan komited serta jitu. Pencapaian tempat keempat Liga Super 2023 pada tahun pertama beliau bersama pasukan serta peringkat separuh akhir Piala FA 2024 adalah pencapaian terbaik beliau semasa bersama pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, KDA FC turut mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti beliau selama ini serta mendoakan beliau berjaya dalam perjalanan karier selepas ini.
Sementara itu katanya, pihak pengurusan akan menilai serta membuat keputusan dari masa ke masa mengenai calon ketua jurulatih pasukan yang tetap berikutnya mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia musim ini.
Sebelum ini desas desus mengenai pengunduran Nafuzi bertiup kencang selepas pasukan Sang Kenari itu menghadapi masalah kewangan yang serius pada musim ini.
Isu kewangan yang serius dihadapi pasukan itu menyebabkan ramai pemain utama yang memboikot perlawanan dan terbaharu ketika aksi menentang KL City baru-baru ini, pasukan itu terpaksa beraksi tanpa pemain simpanan yang mencukupi.