Salah wira Liverpool dalam kemenangan mendebarkan ke atas Southampton
SOUTHAMPTON – Liverpool berjaya menewaskan pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton 3-2 pada awal pagi tadi untuk mencipta jurang lapan mata di hadapan juara bertahan, Manchester City.
Mohamed Salah menjadi watak penting buat Liverpool apabila memimpin kebangkitan pasukannya yang juga pelawat di separuh masa kedua.
Liverpool ketinggalan 2-1 apabila Salah menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua, meningkatkan jumlah golnya musim ini kepada 10, dua di belakang penjaring terbanyak liga, Erling Haaland dari Manchester City.
Selepas City mengalami kekalahan liga ketiga berturut-turut semalam, tewas 4-0 kepada Tottenham Hotspur, Liverpool memanfaatkan peluang itu sepenuhnya dengan kemenangan ke atas Southhampton.
Pasukan bimbingan Arne Slot kini mengumpul 31 mata daripada 12 perlawanan, berbanding 23 mata milik City sebelum pertembungan mereka di Anfield hujung minggu depan.
“Gol itu sangat penting, terutama selepas ketinggalan 2-1. Yang paling penting ialah memenangi perlawanan.
“Setiap perlawanan berbeza. Mereka mempunyai pelan permainan dan bermain dengan sangat baik. Kami berjaya bangkit dan memenangi perlawanan. Saya rasa kami mempunyai pelan permainan yang baik, kami bermain mengikut cara kami, dan saya yakin kami akan mencipta peluang.
“Man City tetap Man City. Mereka melalui waktu sukar sekarang, tetapi mereka mempunyai pemain hebat… Kami ada perlawanan menentang mereka, jadi harapnya kami menang dan memimpin dengan 11 mata,” kata Salah kepada Sky Sports.