Politik

Tindakan kerajaan anjur rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri cetus persoalan – PN

Enam negeri tersebut bakal hadapi PRN selepas Jun nanti

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) menganggap keputusan Putrajaya menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri kerajaan pusat di enam negeri sebagai berlebih-lebihan dan keterlaluan, selain tidak wajar dipertahankan.

Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berkata, penganjuran sambutan tersebut di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) turut mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.

“Jika dilihat dari sudut mana pun, keputusan Putrajaya ini jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat menjolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.

“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan lagi,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, rumah terbuka Aidilfitri akan diadakan di Kedah pada 29 April ini, diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).

Kesemua enam negeri tersebut akan mengadakan PRN selepas Jun ini.

Takiyuddin yang juga ketua whip PN menuntut Putrajaya memberi jaminan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan tidak akan berlaku sepanjang penganjuran rumah terbuka itu.

Beliau berkata, sambutan itu juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dari segi wibawa serta bidang kuasa masing-masing.

“Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam hantaran di laman Facebook miliknya berkata, tidak salah Putrajaya mengadakan rumah terbuka di enam negeri pembangkang yang disifatkan untuk memperluaskan hubungan ke akar umbi.

“Sebab itu semua wakil rakyat dan menteri besar mengadakan rumah terbuka. Memang ada sedikit unsur politik dan kempen. Sambil menyelam sambil minum air. Apa salahnya?” katanya dalam hantaran tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button