UMNO mohon ihsan Agong ampunkan Najib Razak
KUALA LUMPUR – UMNO memohon ihsan Yang Dipertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini.
Justeru Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beserta dengan memorandum yang ditanda-tangani oleh seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, MKT juga mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan.
Katanya, ia selepas Abdul Rahman menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan.