UMNO Wilayah tolak usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan
KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan bimbang sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu kali ini.
Jurucakapnya, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, menolak usul tambahan yang dikemukakan perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 semalam supaya jawatan itu tidak dipertandingkan.
Katanya, UMNO perlu menyedari sentimen terhadap isu ini boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO.
“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.
“Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” katanya dalam ucapan membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau lagi, belum terlambat untuk UMNO beri nafas baharu dan segar kepada partinya.
“Mungkin kita semua termasuk saya sendiri sudah membuat banyak kesilapan sebelum ini tetapi takkanlah kita nak biarkan kesilapan ini berterusan jika kita sedar dan tahu akibatnya?
“Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti.
“UMNO Wilayah mohon menyokong, kecuali usul tambahan, (iaitu) usul nombor lapan yang dibuat secara mengejut semalam, iaitu usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya lagi.