Warganegara 18 tahun ke atas terima RM100 secara sekali bayar – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan inisiatif khas berupa pemberian bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan boleh ditebus menggunakan MyKad bermula 31 Ogos ini sehingga hujung tahun.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.
Jelas Anwar, bantuan tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 premis perniagaan termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart dan kedai-kedai runcit di seluruh negara.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.
“Ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, mereka yang berkemampuan dan tidak memerlukan bantuan berkenaan boleh memilih untuk tidak membelanjakannya.
“Kerajaan bercadang agar jumlah bantuan yang tidak digunakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan kepada golongan rentan pada tahun hadapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


